Wednesday 20 November 2013

KURSUS CPD GURU DG41 PERAK

Kursus yang berlangsung pada 18 hingga 22 November 2013 di Hotel Excelsior, Ipoh ini melibatkan 70 orang guru sekolah menengah dari seluruh Perak. Peserta merupakan guru DG41 yang kini berada dalam usia perkhidmatan antara 3 hingga 5 tahun. Sebagaimana beberapa sesi CPD awal, guru-guru yang terlibat menunjukkan minat dan komitmen yang tinggi dalam kursus ini. Terdapat beberapa orang guru yang kurang sihat, namun tetap hadir menyahut seruan jabatan. Kursus dikendalikan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Perak dengan bantuan IPG Kampus Pulau Pinang yang membekalkan para penceramah. 















Sunday 17 November 2013

SEMALAM YANG AMAT BERMAKNA


Malam 15 November 2013 merupakan satu malam yang amat bermakna bagiku. Para pelajar T4PS menganjurkan satu majlis ringkas dan ianya berlangsung di sebuah bilik khas di Pan Mutiara Restoran, Batu Maung, Pulau Pinang. Tidak semua yang hadir. Beberapa orang pelajar telahpun menempah tiket bas dan terpaksa pulang. Ada juga yang diambil oleh keluarga dan perlu mengikut program yang telah diatur. Namun, mereka yang hadir menjadi wakil seisi kelas. Piqah, Nas, Goki, Ida, Yatt, Ina, Naqib, Rifa, Pijo dan Zek sudah cukup memberi makna dalam pertemuan terakhir itu. Selepas bacaan doa oleh Zek, kami menikmati makanan yang disediakan. Selalunya aku amat berselera menikmati kari kepala ikan di restoran itu. Tapi, malam itu seleraku hilang. Berlainan dengan para pelajarku, mereka dapat menikmati makanan yang disediakan. Aku seronok melihat mereka makan, bagaikan seorang bapa yang makan bersama anak-anaknya.

Sejurus selesai makan, setiap pelajar menyampaikan ucapan ringkas. Setiap orang membangkitkan kenangan semasa mula melangkah masuk ke IPG hingga ke malam tersebut. Pelbagai pengalaman manis dan pahit ditimbulkan. Tidak ketinggalan merakamkan jutaan terima kasih dan memohon kemaafan kepadaku khususnya, juga kepada rakan-rakan yang ada. Aku menjadi penyampai ucapan yang terakhir. Sejak Ina berucap perasaanku sudah mula tergugat. Juka tidak kukawal sudah basah pipiku. Seorang demi seorang bercakap, memberi makna dalam diriku dan terasa ingin menangis mendengarnya. Tapi kutahan sahaja. Dalam ucapan, aku mengingatkan pelajar agar menjadi guru yang baik. Guru perlu penyayang dan prihatin kepada pelajar. Selama lima tahun setengah ini aku sangat gembira bersama mereka. Mereka bukan sahaja pelajarku tetapi mereka sudah seperti anakku. 

Sebagai guru kepada mereka, paling gembira apabila aku melihat mereka membentangkan hasil kajian semasa Seminar Kajian Tindakan. Dengan penuh gaya, keyakinan dan ketrampilan pelajar-pelajar ini berjaya memperlihatkan mereka sudah matang dan lengkap untuk menjadi seorang guru. Dari seorang budak lepasan SPM, kamu kini menjadi orang dewasa yang penuh dengan ilmu dan kemahiran perguruan. Kamu juga cantik dan tampan. Kamu adalah guru Pengajian Sosial@Sejarah yang hebat. Kamu adalah guru muda yang akan menjadi penerus perjuangan mendidik anak bangsa. Doaku semoga kalian semua berjaya dalam karier yang bermakana ini, INSYAALLAH.


Saturday 16 November 2013

MESYUARAT TENDER HOTEL BAJET KGMMB

Mesyuarat Khas JK KGMMB dan wakil Koperasi KGMMB behad bersama pihak kontraktor berlangsung pada 16 November 2013 (Sabtu) bermula jam 4.00 petang di Bilik Mesyuarat KGMMB, Jalan Sentul, Kuala Lumpur. Pihak kontraktor dan perunding membentang cadangan pembinaan  dan menjawab pelbagai soalan daripada pihak kesatuan dan koperasi KGMMB. Mesyuarat bertujuan untuk menetapkan kontraktor yang sesuai bagi cadangan renovasi 6 unit bangunan rumah kedai dua tingkat di Taman Bukit Piatu Mutiara, Melaka. Kos renovasi dianggarkan bernilai RM1.8 juta yang akan ditanggung bersama oleh Kesatuan dan Koperasi KGMMB. Dalam hal ini penelitian dan perbincangan yang mendalam dan berhati-hati perlu dilakukan. Keputusan yang tepat akan memastikan proses pembentukan Hotel Bajet KGMMB berjalan dengan lancar dan mencapai kualiti pembinaan yang optima. Jika usaha ini berjaya dilaksanakan, KGMMB bakal mempunyai sebuah hotel dan menjadi satu lembaran baru dalam perjuangan dan perkembangan KGMMB.









Thursday 14 November 2013

SEMINAR INTEGRITI NASIONAL 2013

Seminar bertema "Pelan Integriti Nasional Sedekad Bersama Rakyat" berlangsung pada 14 November 2013 (khamis) bermula 8.00 pagi hingga 4.30 petang. majlis anjuran Institut Integriti Malaysia ini dirasmikan oleh YB Senator Datuk Paul Low Seng Kuan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Para peserta terdiri daripada pegawai-pegawai jabatan kerajaan, badan berkanun, pihak swasta dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO). KGMMB diwakili oleh En. Roslan Saadon, En. Amran Ghani dan En. Abdul Malik. Pada sesi petang, para peserta dikumpulkan dalam beberapa kumpulan untuk bengkel perbincangan dan penjanaan minda bagi penambahbaikan Pelan Integriti Nasional. Wakil KGMMB duduk dalam kumpulan yang membincangkan isu integriti dalam pendidikan bersama beberapa peserta dari KPM, UPE dan PEMADAM. Cikgu Roslan Saadon mengetuai kumpulan tersebut dan menyerahkan hasil perbincangan yang kepada Pengarah Sektor Politik, IIM yang mempengerusikan bengkel tersebut.




Tuesday 12 November 2013

KURSUS CPD GURU DG41 PULAU PINANG

Kursus Pembangunan Profesionalisme Berterusan (PPB@CPD) Sesi 7 Guru DG41 Pulau Pinang berlangsung pada 10 hingga 14 November 2013 di Hotel Park Avenue, Sungai Petani, Kedah Darul Aman. Seramai 80 orang guru yang bertugas sekitar 4-5 tahun dipilih menyertai kursus tersebut. Para pensyarah dari IPG Kampus Pulau Pinang terlibat dalam penyampaian ceramah, manakala JPN Pulau Pinang bertindak selaku urusetia. Para peserta menunjukkan minat dan komitmen yang tinggi dalam setiap sesi ceramah. Selaras dengan matlamat CPD untuk meningkatkan profesionilsme guru, para peserta kursus ini memperlihatkan bahawa mereka akan menjadi guru yang cemerlang, gemilang dan terbilang. 






Saturday 9 November 2013

LAWATAN PENANDA ARASAN KE IPG KAMPUS TUANKU AMPUAN AFZAN

Program Penanda Arasan di IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan (IPGKTAA) belangsung pada 7 hingga 9 November 2013 melibatkan sekumpulan pensyarah yang terdiri daripada Ketua Jabatan dan Ketua Unit IPG Kampus Pulau Pinang. En. Roslan Saadon dilantik oleh Ketua Unit LDP mengetuai rombongan ke IPGKTAA yang berlangsung pada 8 November 2013. Para delegasi dijemput dari Hotel Centre Point, Lipis oleh pihak IPGKTAA dan dibawa ke IPG mereka. Pn. Hjh. Salbiah, Ketua Jabatan Ilmu Pendidikan mewakili Pengarah IPGKTAA bersama-sama beberapa orang pensyarah meraikan delegasi IPGKPP sejurus sahaja sampai.  Pelbagai maklumat berguna diterima antaranya ialah sistem penggunaan kupon dan hubungan baik JPP-HEP, perkongsian pintar amalan LDP, program peningkatan penyelidikan anjuran PIPK, paparan peristiwa penting dan bersejarah di dinding bangunan dan penghasilan jurnal oleh JIP IPGKTAA. Suatu yang amat mengkagumkan para delegasi ialah keceriaan dan kebersihan di IPGKTAA.

Dalam pembentangan wakil Jabatan PIPK, ada disebutkan tentang kajian Orang Asli yang dijalankan oleh IPGKPP dan ianya menggembirakan delegasi yang hadir. En. Roslan Saadon mengulas hal tersebut dengan panjang lebar pada sesi soaljawab. Wakil Jabatan PIPK seterusnya membentang pelbagai program dan kegiatan yang dijalankan oleh JPIPK. Apabila ditanya tentang kekuatan penyelidikan di IPG beliau menjelaskan mengikut pandangan peribadinya masih belum lagi menyeluruh dan tidak menjadi budaya di kebanyakan IPG. Beliau percaya kekuatan penyelidikan dan penerbitan di sesuatu IPG bergantung kepada individu-individu tertentu yang aktif menyelidik dan menulis. Ketua JPIPK di IPGKTAA misalnya menghasilkan banyak penulisan dan penerbitan. Taklimat disudahi dengan sesi pertukaran cenderamata antara kedua-dua IPG.

Lawatan IPGKPP dimulakan dengan jamuan sarapan pagi dan diakhiri dengan makan tengah hari. Sesungguhnya layanan yang sempurna dan penerimaan pelbagai maklumat berguna meninggalkan kesan yang mendalam kepada pensyarah IPGKPP yang hadir. Terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga diucapkan kepada pihak IPGKTAA.






PELUANG-PELUANG PENYELIDIKAN & PENERBITAN

En. Roslan Saadon menjadi pembentang untuk Perbincangan Meja Bulat IV yang berlangsung pada 7 November 2013 (Khamis) di Jabatan Penyelidikan & Inovasi. Beliau membincangkan peluang-peluang penyelidikan dan penerbitan melalui kegiatan akademik dan NGO. Para pensyarah sentiasa terbuka ruang untuk menghasilkan penyelidikan dan penerbitan melalui kursus yang diajar. En. Roslan Saadon memberikan beberapa contoh kajian yang dijalankan seperti kajian Orang Asli yang dijalankan di Kuala Tahan, Cameron Highlands dan Baling, Kedah. NGO juga menyediakan pelbagai peluang kepada ahli-ahlinya seperti penghasilkan kertas kerja dan membentangkannya, penghasilan jurnal dan pengurusan seminar. Dalam pembentangan ini terdapat pelbagai pandangan yang dilontarkan oleh pembentang dan peserta. Perkara-perkara tersebut akan dijadikan isu Jabatan Penyelidikan dan Inovasi untuk dibawa kepada Pengarah IPGKPP untuk tindakan selanjutnya.

IMPACT CODE

Perbincangan Meja Bulat III dibentangkan oleh En. Jamal Mohamed Abdul Rahman pada 4 November 2013 di Jabatan Penyelidikan & Inovasi dengan tajuk Impact Code. Beliau membincangkan tajuk tersebut dan membuka ruang kepada peserta yang hadir untuk mengajukan pandangan dan persoalan. Perbincangan Meja Bulat bukan sahaja memberi ruang dan peluang kepada pensyarah untuk membentangkan sebarang kajian dan dapatan, malah ia juga memberi ruang kepada peserta berkongsi pengetahuan dan pandangan. Konsep pembentangan melibatkan perbincangan dua hala antara pembentang dan peserta.

MESYUARAT MAJLIS JAWATANKUASA AGUNG KGMMB

Mesyuarat yang berlangsung pada 2 November 2013 (Sabtu) di Jitra ini membincangkan beberapa perkara antaranya lawatan penandaarasan ke Thailand dan ke Solo, Indonesia. Mesyuarat juga membincangkan tentang pengubahsuaian yang akan dibuat kepada bangunan binaan koperasi di Melaka yang akan dijadikan hotel budget. Turut dibincangkan adalah kad keahlian yang melibatkan Fawzy Agency. Dalam mesyuarat ini juga pihak MJKA telah meluluskan sumbangan derma sebanyak RM15,000.00 kepada salah sebuah sekolah Maahad Tahfiz di selatan Thailand. Jumlah tersebut dibuat berdasar anggaran seorang ahli menyumbang 50 sen. Mesyuarat yang bermula pada pukul 3.00 petang dan berakhir pada pukul 10.00 malam itu juga menyaksikan penyampaian derma kilat oleh ahli MJKA kepada Tn. Hj. Saidin Rashid yang baru kematian isteri.