Thursday 31 October 2013

PROJEK PENDOKUMENTASIAN SEJARAH LISAN

Dua orang pelajar Fakulti Pengurusan Maklumat, UiTM Kampus Kedah hadir ke IPG Kampus Pulau Pinang untuk menjalankan sesi temuramah dengan En. Roslan Saadon dari Jabatan Penyelidikan dan Inovasi. Nur Athirah Mydin dan Siti Fatihah Abdul Hamid menjalankan temuramah bagi melengkapkan tugasan kursus Pendokumentasian Sejarah Lisan. En.Roslan dijadikan sebagai sumber mendapatkan mahlumat lisan berasaskan beberapa kriteria iaitu pengalaman sebagai pendidik, pengetahuan sejarah dan penglibatan dalam kegiatan persatuan dan kemasyarakatan. Sesi temuramah berlangsung pada 30 Oktober 2013 (Rabu), bermula jam 2.30 petang dan berakhir pada pukul 5.00 petang di pejabat En. Roslan Saadon. Sebelum ini kedua-dua pelajar hadir bagi sesi pratemuramah pada 2 Oktober 2013 bagi menjelaskan tujuan dan perkara-perkara yang bakal dijalankan. Nur Athirah dan Siti Fatihah telah memperlihatkan komitmen yang tinggi dalam melaksanakan sesi temuramah ini. Mereka sentiasa berhubung dengan pihak tokoh yang ditemuramah sama ada melalui telefon atau emel dalam memantapkan soalan-soalan dan perkara-perkara yang perlu dimuatkan dalam tugasan. Semoga mereka dapat menghasilkan tugasan yang baik dan seterusnya nanti menjadi graduan yang komited, progresif dan berketrampilan.


Wednesday 30 October 2013

CADANGAN KOLABORASI IPGKPP-SEMEO RECSAM


Satu pertemuan ringkas antara Setiausaha Akademik IPG Kampus Pulau Pinang dengan Pengarah SEAMEO-RECSAM berlangsung pada 30 Oktober 2013 (Rabu), jam 8.30 pagi di Pejabat Pengarah SEAMEO-RECSAM. En. Jamal Mohamed Abdul Rahman selaku Setiausaha Akademik ditemani oleh En. Roslan Saadon hadir ke pejabat Dr. Mohd Johan Zakaria, Pengarah SEAMEO-RECSAM untuk membincangkan cadangan kolaborasi antara IPG dengan institusi tersebut. Turut hadir bersama ialah Dr. Nur Jahan Ahmad, penyelidik SEAMEO-RECSAM. Antara kerjasama yang dicadangkan ialah penghasilan Jurnal Antarabangsa, penilaian kajian tindakan pelajar PISMP, sumbangan artikel untuk Jurnal SEAMEO-RECSAM, PLC Working Committee dan penganjuran bersama Seminar Sains & Matematik 2014. Untuk tujuan tersebut dicadangkan satu memorandum persefahaman akan ditandatangani pada awal tahun 2014 antara IPGKPP dan SEAMEO-RECSAM. 

Wednesday 23 October 2013

MESYUARAT PERANCANGAN STRATEGIK IPGKPP 2013/14

Mesyuarat tersebut melibatkan pihak pengurusan institut, ketua- ketua jabatan, ketua-ketua unit dan para penyelaras kursus berlangsung pada 22 hingga 24 Oktober 2013 di Pauh Inn Education Training Centre, Politik Tuanku Syed Sirajudin, Arau, Perlis. Mesyuarat berbincang dan membuat penetapan tentang perancangan setiap jabatan dan unit yang akan dimuatkan dalam takwim institut 2014. Mesyuarat tersebut dirasmikan oleh Tn. Hj. Khalid Hj. Ahmad, Pengarah IPGKPP. Dalam ucapan tersebut, beliau meminta semua pihak di institut sentiasa berusaha meningkat kecemerlangan diri, jabatan dan seterusnya institut. Pelbagai pesanan yang disampaikan memberi semangat dan motivasi kepada semua ahli mesyuarat, dan diharapkan dimanfaatkan sepenuhnya dalam tahun 2014. En. Roslan Saadon turut hadir mewakili Setiausaha Akademik dan Ketua Jabatan Penyelidikan dan Inovasi.




Monday 21 October 2013

PALUAN KOMPANG MENCERIAKAN SUASANA MAJLIS

Peredaran masa dan perkembangan zaman menjadikan permainan kompang semakin menarik dan sedap didengar. Berdasarkan pengalaman melihat permainan pasukan kompang terutama di kawasan selatan tanah air iaitu Johor, Melaka dan Negeri Sembilan, terdapat sedikit perubahan yang menjadi satu inovasi. Kompang yang digunakan tidak lagi menggunakan kulit binatang tetapi plastik yang menghasilkan bunyi yang lebih kuat dan nyaring. Satu alat tambahan juga digunakan iaitu drum besar atau rebana ubi yang menghasilkan bunyi tambahan kepada bunyi kompang sedia ada. Kedua-dua perkara ini menghasilkan satu persembahan kompang yang lebih menarik dan menjadi tumpuan ramai ketika ianya dimainkan di sesuatu majlis. Para pemain bukan sahaja memukul kompang sambil bernyanyi, tetapi juga membuat beberapa formasi gerakan yang menarik. Semoga usaha mengangkat dan mempopularkan permainan muzik tradisi Melayu ini akan terus berjalan dengan jayanya dan kekal sebagai warisan budaya yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Tambah baik jika badan-badan tertentu terutama pihak yang korporat atau ahli-ahli politik menjadi penaung kepada kumpulan-kumpulan kompang yang baik yang terdapat di negara ini. Berbekalkan bakat, kesungguhan dan bantuan kewangan, pastinya satu kumpulan kompang yang profesional dan luar biasa dapat dibentuk. Budaya Melayu yang murni ini bukan sahaja terus menjadi tatapan umum masyarakat Malaysia, tetapi juga memikat masyarakat dunia dengan bunyi pukulan kompang dan formasi gerakan yang menakjubkan 


MAJLIS WALIMATUL URUS NORAISHAH ROSLAN DI SEBELAH KELUARGA LELAKI

Majlis berlangsung di rumah pengantin lelaki di Pasir Panjang, Port Dickson, Negeri Sembilan. Keluarga sebelah pengantin perempuan seramai 30 orang hadir di majlis tersebut. Pada jam 2.00 petang pasangan pengantin dan rombongan pihak perempuan diarak dengan bunga manggar dan paluan kompang. Pasangan pengantin ditempatkan di pelamin dan dijalankan acara merenjis air mawar. Sejurus seleai acara merenjis air mawar, pihak pengantin perempuan dijemput makan di meja utama bersama pasangan pengantin. Selepas makan, pihak rombongan pengantin perempuan mohon meninggalkan majlis untuk pulang ke Melaka dan ke Pulau Pinang.




MAJLIS WALIMATUL URUS HAFIZ ROSLAN & HIDAYAH CHE ROS

Majlis kenduri kahwin tersebut berlangsung pada 6 Oktober 2013 (Ahad) bersamaan 1 Zulhijjah 1334H, di 244A, Mk. E, Titi Teras, Balik Pulau, Pulau Pinang. Majlis yang dihadiri oleh ramai sanak saudara, jiran tetangga dan kenalan pihak pengantin perempuan dan lelaki itu bermula dari jam 12.00 tengahari hingga jam 5.00 petang. Pelbagai juadah disediakan iaitu nasi tomato, laksa janggus, ais krim, ais kacang dan sebagainya. Rombongan pengantin sampai di majlis pada jam 2.00 petang dan diarak dengan paluan kompang dan persembahan silat. Majlis berjalan dengan lancar dan meriah.




Sunday 6 October 2013

MAJLIS PERNIKAHAN MUHAMAD HAFIZ ROSLAN

Muhamad Hafiz Roslan selamat diijabkabul dengan pasangannya Norhidayah Che Ros pada 6 Oktober 2013. Majlis pernikahan itu berlangsung di Masjid Titi Teras, Balik Pulau, Pulau Pinang bermula pada pukul 10.00 pagi disertai pasangan pengantin serta keluarga kedua-dua belah pihak. Sebelum pengantin diijabkabul, juru nikah membacakan kutbah yang menggariskan kepentingan berkahwin, tanggungjawab suami dan isteri, serta rukun nikah. Kutbah yang disampaikan penting untuk kedua mempelai yang bakal mengharungi kehidupan berumahtangga. Ianya juga penting kepada hadirin yang hadir sebagai peringatan bagi melaksanakan apa yang sepatutnya kepada mereka yang sudah lama berumahtangga. Selepas lafaz nikah selesai, pengantin lelaki menyarung cincin dan memakaikan rantai tangan kepada pasangannya.



Wednesday 2 October 2013

SEMINAR KAJIAN TINDAKAN PENGAJIAN SOSIAL


Seminar Kajian Tindakan Pelajar Pengajian Sosial PISMP Tahun 4 berlangsung pada 23 hingga 25 September 2013 dengan jayanya. Majlis perasmian berlangsung serentak dengan Minggu Integriti IPG di Dewan Kuliah Utama pada 23 September 2013 bermula jam 8.30 pagi. Majlis dirasmikan oleh Dr. Mohamad Fadzil Che Amat, Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar merangkap menjalankan tugas Timbalan Pengarah. Turut sama hadir pada majlis tersebut ialah Pengurus Institut Integriti Malaysia (IIM) Cawangan Pulau Pinang dan En. Jamal Mohamad Abdul Rahman. Majlis perasmian melibatkan semua pelajar guru PISMP Tahun 4. Selepas sesi perasmian, pelajar berada di dewan-dewan kuliah yang ditetapkan untuk menjalani sesi pembentangan dan penilaian. Pelajar Pengajian Sosial ditempatkan di Bilik Persekutuan dan Bilik Angsana pada hari berikutnya. Pembentangan hasil kajian pelajar jelas menunjukkan bahawa mereka sudah mampu menjalankan penyelidikan. Dr. Muhammad Raini Mat Rahim, Ketua Jabatan Sains Sosial, dalam ucapan penutup menyatakan rasa bangga dengan pelajar terlibat. Beliau berharap apa yang dilalui akan dijadikan amalan apabila keluar mengajar nanti. Kajian Tindakan penting dalam membantu meningkatkan keberkesanan PdP dengan pelbagai dapatan yang boleh dipraktik dan dikongsikan bersama. Kebanyakan pelajar berjaya membentangkan hasil kajian dengan baik dan penuh keyakinan. Markah untuk pembentangan adalah 30%, pengurusan seminar 10% dan laporan kajian 60%. Selaku penyelaras dan pensyarah pembimbing, En. Roslan Saadon amat bangga dengan semua pelajar terlibat dan mengucapkan syabas dan tahniah kepada mereka. Semoga anda semua menjadi 'GURU SUPER'.

Tuesday 1 October 2013

BENGKEL KSSR/PBS PELAJAR GURU PISMP TAHUN 3 & 4



Bengkel anjuran bersama IPGKPP dan JPN Pulau Pinang ini berlangsung pada 26 September 2013 bermula jam 8.30 pagi di Dewan Kuliah Utama, IPG Kampus Pulau Pinang. Bengkel ini melibatkan semua pelajar guru PISMP Tahun 3 dan 4 serta pensyarah. Tuan Haji Khalid Haji Ahmad, Pengarah IPGKPP hadir merasmikan majlis. Dalam ucapannya, beliau menggesa para pelajar memberi tumpuan sepenuhnya dengan bengkel yang diadakan. Ilmu dan kemahiran yang diterima  akan membolehkan pelajar mengaplikasikannya apabila keluar mengajar nanti. Segala perubahan dan dasar yang dibuat oleh kerajaan perlu dipatuhi dan dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Bengkel yang dikendalikan oleh En. Jamal Mohamed Abdul Rahman ini berjalan dengan baik dan lancar. Terdapat beberapa perkara yang boleh dibaiki supaya lebih sempurna pada masa akan datang.