Sunday 30 June 2013

TEKS UCAPAN YANG DIPERTUA SEMPENA MESYUARAT AGUNG PERADABAN KALI KE-2



Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam 1Malaysia dan salam Peradaban.

Terlebih dahulu dipanjatkan kesyukuran ke-Hadrat Yang Maha Kuasa kerana dengan limpah kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama menjayakan Mesyuarat Agung Dwitahunan Peradaban bagi kali ke-2. Peradaban ditubuhkan pada bulan Jun 2011 dan pada bulan Ogos 2011 mesyuarat agung pertama dijalankan. Dan pada hari ini mesyuarat agung kali ke-2 pula diadakan. Justeru saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua yang hadir. Berlebih-lebih lagi kepada Dr. Mohamad Fadzil Che Amat, Ketua Jabatan HEP, IPG Kampus Pulau Pinang yang sudi hadir bagi merasmikan majlis bagi pihak YB Hj. Muhamad Farid Hj. Saad, ADUN  Pulau Betong yang juga Penasihat Peradaban.

Pada kesempatan ini saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Dr. Mohamad Fadzil kerana diberikan kepercayaan menjalankan tugas Timbalan Pengarah IPGKPP. Beliau merupakan ahli dan juga salah seorang ahli jawatankuasa Peradaban. Saya bagi pihak Peradaban amat bangga dengan pencapaian tersebut. Kita berdoa semoga dari menjalankan tugas sahaja, beliau akan diberikan peluang memangku jawatan tersebut dan seterusnya dilantik secara hakiki sebagai Timbalan Pengarah. Kebolehan, ketrampilan dan usaha yang dibuat membuktikan bahawa Dr. Muhamad Fadzil merupakan pilihan yang terbaik dan kita sentiasa mendoakan kejayaan beliau.

Saya juga ingin merakamkan tahniah kepada Penasihat Peradaban iaitu YB Sr Hj. Muhamad Farid Hj. Saad kerana berjaya mempertahankan kerusi DUN Pulau Betong. Kemenangan ini sudah dijangka. YB Muhamad Farid merupakan ADUN yang sentiasa bekerja keras untuk parti dan masyarakat setempat. Beliau mudah dihubungi dan sentiasa prihatin dengan masalah rakyat. YB Farid juga banyak membawa pembangunan dan perubahan khususnya di kawasan DUN beliau. Peradaban juga mendapat perhatian istimewa daripada beliau. Melalui sumbangan RM10,000.00 daripada beliau pada tahun 2011, kita berjaya menganjurkan banyak program. Peradaban merakamkan tahniah, terima kasih dan syabas kepada beliau atas kejayaan dan keprihatinan beliau. Kita berdoa semoga YB Farid sentiasa sihat, cergas dan cerdas dalam menjalankan tugas dan seterusnya membawa kejayaan kepada agama, bangsa dan negara.

Saya juga suka merakamkan tahniah kepada kita semua atas semua yang kita kecapi selama ini. Syukur alhamdulillah, pelajar Pengajian Sosial PISMP sudah sampai semester akhir. Tak lama lagi akan bertebaran ke serata ceruk tanah air untuk mendidik anak bangsa. Pelajar junior juga akan menyusul setahun lagi. Kita semakin berkembang dan mengecapi pelbagai kejayaan. Kita juga mengecapi pelbagai nikmat kurniaan Allah - udara, angin, alam sekitar, sihat, cergas, cerdas, seronok dan sebagainya. Bagi kakitangan kerajaan, pada bulan Julai ini akan menerima satu pergerakan gaji. Maklumat daripada Datuk Haji Jemali Paiman, Presiden Kongres (badan gabungan kesatuan guru), kakitangan kerajaan akan menerima kenaikan elaun – EKA, ITP dan COLA. Pada bulan Disember nanti bakal menerima sebulan bonus pula.

Peringatan saya semoga kita mengenepikan seketika hal-hal politik dan memberikan tumpuan kepada co-business kita. Marilah kita berusaha mengejar kecemerlangan. Kecemerlangan penting untuk membawa kita menjadi orang yang berjaya. Jika ramai di antara kita berjaya maka berjayalah bangsa kita. Ramai di antara anak-anak Melayu yang terkandas terutama dalam pelajaran apabila terlalu menumpukan kepada politik. Politik adalah satu persepsi. Persepsi tidak semestinya betul, dan ia juga tidak semestinya salah. Yang jelas, pelajaran dan kemahiran menentu masa depan kita. Lebih-lebih lagi kini persaingan menjadi semakin hebat. Namun, politik membentuk orang Melayu terpisah-pisah. Masing-masing aliran menganggap mereka betul dan bakal membentuk negara yang ideal. Tuduh-menuduh berlangsung sehinggakan perkara-perkara yang berkaitan dengan perlembagaan, hak istimewa orang Melayu dan kedaulatan raja-raja Melayu dianggap remeh.

Perbezaan politik membuatkan kita orang Melayu terlalu ekstrim dan mengenepikan perkara yang lebih besar. Perpaduan Melayu dan Islam terketepi hanya semata-mata berbeza idealogi. Kita bermusuh-musuhan sedangkan beragama yang sama, berbudaya dan adat resam yang sama, berdarah Melayu yang sama, percaya kepada rukun Islam dan rukun iman yang sama serta mengadap kiblat yang sama. Jadi, marilah kita dalam Peradaban ini bersatu dan mencari jalan dalam memaju dan mempersatu umat Melayu yang saya percaya sangat sayangkan agama, bangsa dan watannya. Mari kita ketepikan perkara-perkara yang boleh melunturkan perpaduan dan bersatu atas persamaan yang banyak berbading perbezaan idealogi. Jangan biarkan golongan lain terus mengecapi nikmat yang berlebihan daripada kecelaruan persepsi kita orang Melayu di tanah air ini.

Ketika hampir PRU 13, pelbagai konflik, perdebatan dan persepsi timbul. Kita tidak lagi dapat bersatu atas nama Peradaban. Program yang dilihat berpihak kepada mana-mana aliran akan dicurigai. Oleh itu, kita menyepikan diri buat sekita waktu yang agak panjang. Namun, sebelum itu Peradaban berjaya menganjurkan pelbagai program untuk ahli dan masyarakat. Kita berjaya menganjurkan Bengkel Penulisan Sejarah yang dikelolakan oleh Y.Bhg Prof. Madya Datin Dr. Mahani Musa (USM). Kemudian, Forum Siapa Pejuang Kemerdekaan menyusul melibatkan pelajar IPG, sekolah dan kepimpinan desa. Pakar-pakar sejarah dari USM dijemput untuk membicarakan topik tersebut seperti Prof. Madya Haji Abdul Rahman Ismail, Prof. Madya Dr. Jelani Halimi dan Dr. Azmi Ariffin. Peradaban juga berjaya membuat lawatan penandaarasan dengan Persatuan Sejarah yang tidak asing di negara kita iaitu Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah.

Satu lagi program yang besar adalah usaha untuk menjadikan Batu Uban sebagai ‘Living Heritage’. Pada awal tahun 2012, Peradaban di bawah kepimpinan dan usaha YB Farid telah mengadakan sidang akhbar di Masjid Batu Uban.Tindakan itu membawa kepada beberapa reaksi daripada pihak akhbar, Kerajaan Negeri dan juga Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG). Usaha ini menjadi kukuh kerana mendapat sokongan daripada pelbagai pertubuhan termasuk para sarjana Melayu seperti Prof Dr Sohaimi Abdul Aziz (USM), Prof. Madya Dr. Mahani Musa (USM), Dr. Azmi Ariffin dan  Prof. Madya Dr. Mohd Isa Othman (USM). Peradaban juga berhubung dengan pihak berkuasa tempatan dan persekutuan. Surat-surat jawapan yang diterima agak mendukacitakan. Surat dari Jabatan Warisan Negara misalnya menyatakan mereka boleh membantu mewartakan Batu Uban, namun urusan tanah bukan di bawah kuasa mereka. Ia di bawah kuasa Kerajaan Negeri. Usaha mewartakan Batu Uban tidak berakhir di situ, kita akan meneruskan usaha sehingga berjaya. Kita mahu Kg Batu Uban setidak-tidaknya sebahagian kecil akan terus kekal sebagai bukti pertapakan awal Melayu awal di Pulau Pinang.

Aktiviti Peradaban yang seterusnya adalah penghasilan Buletin Peradaban. Ia berjaya dihasilkan dengan usaha Biro Penerbitan Peradaban. Terima kasih kepada Dr. Muhammad Raini dan Sidang Pengarang yang berjaya menerbitkan buletin tersebut. Buletin setebal 20 muka surat itu memuatkan maklumat berkaitan sejarah Pulau Pinang dan aktiviti Peradaban. Ia berjaya memaparkan kewujudan Peradaban. Buletin ini dilancarkan oleh YB Datuk Dr. Rais Yatim semasa merasmikan majlis pemimpin bersama rakyat di Balik Pulau. Selaras dengan perkembangan semasa, Peradaban menghasilkan Facebooknya bagi memaparkan aktiviti, menyalurkan maklumat dan berhubung sesama ahli. Terima kasih diucapkan kepada En. Nur Azrin Abdul Razak yang menghasil dan menguruskannya.

Bukan semua yang dapat diusahakan mengikut perancangan. Peradaban gagal menghasilkan Jurnal Berwasit berkaitan Pulau Pinang. Peradaban juga gagal menjayakan Hari Besar Melayu Pulau Pinang. Kita juga gagal membentuk muzium yang dicadangkan dibentuk di Balik Pulau. Begitu juga dengan Seminar Pulau Pinang yang dirancang gagal dilaksanakan. Bagi sesi yang akan datang ini, perkara yang belum terlaksana akan diberi perhatian khusus. Saya pernah menyuarakan cadangan mengadakan kolaborasi dengan Persatuan Sejarah dan Warisan di bawah pimpinan Prof. Dr. Muhammad Salleh dan beliau bersetuju. Saya juga pernah menyuarakan hasrat mendapatkan bantuan kepakaran dari pensyarah sejarah PPIK, USM dan jawapan yang diterima juga positif. Saya percaya dengan komitmen jawatankuasa baru yang bakal dilantik nanti dan komitmen YB Farid, program-program yang tertangguh akan dapat dijayakan.

Akhirnya saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Dr. Mohamad Fadzil Che Amat yang bakal merasmikan majlis, semua ahli jawatankuasa terutama kepada Setiausha yang sangat teliti dan cekap, begitu juga Bendahari yang berjaya mengawal tabung dengan penuh kejujuran dan amanah, para ahli yang sentiasa memberikan sokongan padu dan teristimewa kepada YB Farid yang sangat sinonim dengan Peradaban. Saya bagi pihak diri dan semua ahli jawatankuasa memohon ampun dan maaf atas segala kekurangan dan kesalahan selama kami menguruskan persatuan. Semoga Peradaban terus kekal, gagah dan perkasa, dan selamat bermesyuarat


Sekian, wabilahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

MESYUARAT AGUNG DWITAHUNAN PERADABAN KALI KE-2

Mesyuarat Agung Dwitahunan ini dijalankan pada 30 Jun 2013 di Bilik Persekutaun 1, Blok Beringin, IPG Kampus Pulau Pinang. Ia bermula pada pukul 10.00 pagi dan berakhir pada pukul 12.30 tengahari. Dr. Mohamad Fadzil Che Amat merasmikan majlis mewakili YB Sr. Hj. Muhamad Farid Hj. Saad, ADUN Pulau Betong. Dalam ucapan beliau, Dr. Mohamad Fadzil menyatakan persatuan seperti Peradaban amat penting dalam memperjuang sejarah dan peradaban Melayu khususnya di Pulau Pinang. Ia juga penting dalam membentuk jati diri ahli terutama golongan muda. Justeru, penglibatan pelajar dalam persatuan merupakan nilai tambah yang penting dan bermakna sebagai 'future teacher'. Ia bakal menjadikan pelajar lebih matang dan berdaya saing.

Mesyuarat pada kali ini membariskan jawatankuasa baru yang terdiri daripada ahli sedia ada dan ahli baru. En. Roslan Saadon (Yang Dipertua), Tn. Hj. Baharul Azhar Hj. Omar (Setiausaha) dan Pn. Arbakyah Hassan (Bendahari) mengekalkan jawatan lama. Jawatan-jawatan yang lain melibatkan AJK sedia ada dan muka baru. Pada kali ini 6 orang pelajar dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa. Mesyuarat agung ke-2 ini berlangsung dengan penuh ketenangan dan keharmonian. Mesyuarat diakhiri dengan jamuan makan tengahari.




Saturday 29 June 2013

PERASMIAN MESYUARAT PERWAKILAN KOPERASI KGMMB BHD

Dewan Ballroom Hotel Taiping Perdana menyaksikan peristiwa yang bersejarah apabila Kad KGMMB baharu dilancarkan. Majlis bermula dengan bacaan doa dan jamuan makan malam. Sambil para tetamu menikmati jamuan, kumpulan keroncong dari IPG Kampus Ipoh mendendangkan lagu-lagu yang sedap didengar. Kemudian majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan Tn. Hj. Mohamad Sabri Mohd Arshad, Presiden KGMMB. Selepas itu, majlis mempersilakan YB Dr....., Exco .... Negeri Perak untuk menyampaikan ucapan dan seterusnya merasmikan majlis. Paling menakjubkan apabila simbolik pelancaran kad KGMMB baru dilancarkan. 




Friday 28 June 2013

HOTEL TAIPING PERDANA MILIK KOPERASI MELAYU

Sempena Persidangan Koperasi KGMMB Bhd, KGMMB sempat mengadakan pertemuan dengan wakil Ahli Lembaga Koperasi yang terlibat membangunkan hotel Taiping Perdana. Presiden, Ahli Lembaga Koperasi dan beberapa orang pegawai kanan KGMMB serta pegawai Koperasi terlibat dalam pertemuan itu. Cikgu Abdul Rahman selaku Ahli Lembaga Koperasi Taiping yang  bertanggungjawab mengelola hotel tersebut memberikan taklimat kepada KGMMB. Hotel tersebut dibuka pada tahun 2011 dua hari sebelum Tahun Baru Cina. Ia mempunyai 140 buah bilik beberapa buah bilik mesyuarat,, sebuah ballroom dan sebuah kolah renang. Hotel bernilai RM23 juta itu diuruskan oleh 3 orang Exco Koperasi dan 2 orang pemegang saham tertinggi. Ia menjadi bukti bahawa orang Melayu juga mampu menjadi korporat yang berjaya. Taklimat yang disampaikan oleh Cikgu Abdul Rahman itu memberikan inspirasi kepada Presiden KGMMB untuk menyusun langkah membangunkan hotel KGMMB atau setidak-tidaknya membina hotel budget.


BENGKEL SPSS PELAJAR PISMP

Bengkel anjuran Jabatan  Penyelidikan dan Inovasi ini melibatkan 20 orang pelajar PISMP Semester 8 berlangsung pada 27 Jun 2013 di Blok Beringin. Dr Noorashid Din menjadi penceramah dan fasilittor bengkel tersebut. Beliau dibantu oleh Dr. Tan Huat Tian, Dr Balasubramaniam dan Dr Chee Kim Mang. Bengkel di bawah penyelarasan En Roslan Saadon itu berjalan dengan baik dan mencapai objektifnya. Peserta berjaya didedah dan dilatih menggunakan program SPSS untuk menganalisis data. Siri-siri yang seterusnya akan dijalankan kepada kumpulan pelajar yang lain mengikut keperluan dan kesempatan.




Saturday 22 June 2013

PROGRAM UMRAH KGMMB 2013

Program anjuran KGMMB ini dikelolakan oleh Cikgu Mohd Said Hussain, Naib Presiden 3 KGMMB. Beliau dibantu oleh En. Nazri Ramli, Pengerusi KGMMB Negeri Sembilan. Seramai 73 orang menyertai program tersebut yang terdiri daripada guru-guru dan ahli keluarga seluruh Semenanjung. Peserta dibahagikan kepada tiga kumpulan dan bertolak pada tarikh yang berbeza iaitu pada 23 Mei 2013, 26 Mei 2013 dan 29 Mei 2013. Program umrah ini berjalan selama 12 hari dan berlangsung dengan jayanya. KGMMB akan meneruskan lagi program umrah ini pada tahun 2014. Sesiapa yang berminat boleh menghubungi En. Mohd Said Hussain, 019-3152096.

MESYUARAT SUARA KGMMB

Mesyuarat diadakan di Pejabat KGMMB Jalan Sentul bermula jam 4.00 petang pada 22 Jun 2013. Mereka yang hadir merupakan Jawatankuasa Penerbitan terdiri daripada Tn. Hj. Mohamad Sabri Mohd Arshad, Tn. Hj. Md Jidin bin Ahmad, En. Roslan bin Saadon, En. Mohd Said Hussain, En. Abu Bakar Mohd Abdullah, Pn. Kamariah, Pn. Rohana dan dua orang wakil dari Koperasi KGMMB Bhd. Mesyuarat dipengerusikan oleh Tn. Hj. Mat Jidin bin Ahmad selaku Pengerusi Biro Penerbitan. Mesyuarat membincangkan perkara-perkara penting berkaitan penerbitan Suara KGMMB dan Planner KGMMB untuk tahun 2014. Kedua-dua bahan perlu sampai kepada ahli sebelum sesi persekolahan 2014. Justeru, pihak jawatankuasa perlu menjalankan kerja dengan segera dan maklumat terakhir yang akan dimuatkan adalah program Pertemuan Guru Nusantara yang akan diadakan pada bulan Oktober 2013.

Tuesday 18 June 2013

PUSAT FISIOTERAPI MELAYU PERTAMA DI PENANG

16 Jun 2013 merupakan tarikh penting bagi Muhamad Hafiz Roslan dan Norhidayah Che Ros kerana berjaya membangunkan pusat fisioterapi. Dengan bimbingan dan tunjuk ajar Dr. Azmi, pensyarah mereka, pusat tersebut berjaya dibangunkan. YB Muhamad Farid Saad, ADUN Pulau Betong dijemput khas untuk merasmikan pusat tersebut. Sebaik sahaja tiba, YB Muhamad Farid terus dijemput memotong riben dan membuka kain rentang sebagai simbolik pusat itu dibuka secara rasmi.  Beliau kemudian menandatangani papan tanda pusat tersebut dan seterusnya meninjau sekitar klinik. Dalam sidang akhbar dengan pihak RTM dan Utusan Melayu, beliau menyatakan rasa bangga dan seronok kerana dijemput hadir merasmikan majlis. Beliau juga menyatakan pusat  tersebut merupakan pusat fisioterapi anak Melayu pertama di Pulau Pinang. Beliau berharap pusat itu akan berkembang maju dan menjana peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. Dalam sidang itu juga beliau memuji Dr. Azmi yang berjaya membimbing dan membantu kedua-dua pelajar AUCMS itu membangunkan pusat fisioterapi.



Thursday 13 June 2013

RESOLUSI TAWAU 3 APRIL 2013

Mesyuarat Majlis Pemuafakatan Kesatuan dan Persatuan Guru Kementerian Pelajaran Malaysia berjalan di Sekolah Kebangsaan Bahagia Tawau pada 3 April 2013. KGMMB diwakili oleh Tn. Hj. Jamaludin Jali, En. Mohd Said Hussain dan Tn. Hj. Atan Nordin. Sempena perjumpaan tersebut, kesatuan-persatuan guru yang hadir menyampaikan derma "Tabung Wira Lahad Datu" kepada wakil KPM iaitu Y.Bhg. Datuk Sufa'at bin Tumin, Timbalan KPPM. Cek berjumlah RM35,000.00 daripada KGMMB disampaikan oleh Tn. Hj. Jamaludin Jali, Naib Presiden KGMMB. Mesyuarat berlangsung dalam suasana yang tenang dan damai itu melahirkan satu resolusi yang dikenali sebagai Resolusi Tawau. Kandungan resolusi tersebut adalah seperti berikut:
  1. Penstrukturan PPD disegerakan pelaksanaan di semua negeri pada tahun 2014 dengan pertambahan waren perjawatan.
  2. PBS (rendah dan menengah) dibuat penambahbaikan dalam pelaksanaan band, dokumentasi, eviden dan peperiksaan standard akhir tahun.
  3. Kajian semula kadar imbuhan tetap
  4. Penjenamaan IPGM kepada UPGM di bawah KPM.
  5. Menolak kemasukan PTD
  6. Pegawai Bahagian Agama di PPD, dan
  7. Menolak permintaan Dong Zhong untuk mengiktiraf United Examination Certificate (UEC


MAJLIS WACANA ARKIB PERSENDIRIAN

KGMMB menghantar 3 orang wakil menyertai majlis tersebut iatu Hj. Jamaludin Jali, En. Roslan Saadon dan En. Amran Ghani. Program berlangsung pada13.6.13 di Arkib Negara Malaysia, Kuala Lumpur. Wacana tersebut dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia. Dalam ucapan perasmian, beliau memaklumkan bahawa majlis bertujuan untuk mendapatkan kerjasama badan-badan bukan kerajaan menghulurkan maklumat dan dokumen untuk simpanan Arkib. Bahan-bahan seperti minit mesyuarat, laporan tahunan, majalah dan buletin yang dihasilkan, gambar dan bahan audio visual amat penting untuk rujukan masyarakat pada masa kini dan masa akan datang. Dua slot taklimat berkaitan kegiatan Arkib disampaikan oleh pegawai Arkib sebaik sahaja majlis perasmian selesai. Tn. Hj. Jamaludin Jali selaku Timbalan Presiden KGMMB menyerahkan bahan-bahan KGMMB kepada Pn. Habibah, wakil Arkib sejurus selesai jamuan makan tengahari. Pn. Habibah menggesa agar KGMMB terus menjalin hubungan dengan Arkib dan menyerahkan bahan-bahan yang boleh dikongsikan bersama. Beliau juga memaklumkan akan berkunjung ke Pejabat PGMPPS Tanah Liat jika ada kesempatan.  Bahan-bahan KGMMB/PGMPPS disediakan oleh En. Roslan Saadon selaku Penyelaras Bahan Arkib KGMMB.



Wednesday 5 June 2013

ULANG TAHUN KELAHIRAN PRESIDEN KGMMB


Sempena Mesyuarat Pegawai Kanan Kali Keempat pada 5 Jun 2013, satu majlis ringkas sambutan hari ulang tahun kelahiran Tn. Hj. Mohamad Sabri Hj. Mohd Arsad. kali ke-55 diadakan. Majlis melibatkan potongan kek dan bacaan doa yang dipimpin oleh Cikgu Amran Ghani. Presiden berasa gembira dan terharu atas ingatan rakan-rakan pegawai kanan dan staf sokongan. Beliau juga bersyukur kerana masih sihat dan mempunyai kekuatan untuk meneruskan khidmat sebagai pengurus sekolah dan dalam waktu yang sama memimpin kesatuan.

PENERIMA ANUGERAH SASTERA NEGARA KE-12



Y.Bhg. Dato' (Dr.) Haji Baharuddin Zainal (Baha Zain) dianugerahi Sasterawan Negara ke-12 dalam Majlis Pengurniaan yang disempunakan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XIV. Majlis berlangsung pada 28 Mei 2013 (Selasa) bersamaan 18 Rejab 1434 di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. Anugerah Sastera Negara dikurniakan oleh Kerajaan Malaysia kepada sasterawan yang menulis dalam bahasa Melayu dan telah memberi sumbangan yang cemerlang dan berterusan dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera yang mermutu tinggi. Penghargaan dan penghormatan negara yang diberikan adalah dalam bentuk:

  • Warkah Penghormatan Negara
  • Wang tunai sebanyak RM60,000.00
  • Penerbitan sebanyak 50,000 naskhah buku atau nilai harga buku berjumlah maksimum RM500,00000 untuk dibeli oleh kerajaan dan disebarkan dengan luasnya ke sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan.
  • kemudahan perubatan percuma dalam wad kelas satu di mana-mana hospital kerajaan.
  • kemudahan dan keselesaan untuk kegiatan mencipta karya sastera
  • kemudahan untuk menerbitkan karya
  • penterjemahan karya yang sesuai ke dalam bahasa asing
Baha Zain memberi sumbangan yang besar dalam bidang bahasa dan kesusasteraan Melayu. Beliau menulis esei, kritikan, puisi, cerpen dan terjemahan. Beliau juga telah menyusun semula Hikayat Bakhtiar (DBP, 1962), Hikayat Umar Umaiyah (DBP, 1964, 1988), dan Hikayat Cekel Waneng Pati (DBP, 1965). Hikayat Cekel Waneng Pati menerima hadiah UNESCO sebagai bahan bacaan tambahan yang baik untuk pelajar sekolah menengah.

Sumbangan yang banyak dalam bahasa dan sastera membolehkan Baha Zain menerima banyak anugerah. Antara anugerah yang diterima ialah S.E.A Write Awards, Darjah Kesastria Mangku Negara (KMN), Darjah Cura Simanja Kini (PCM), Dato' Paduka Mahkota Perak (DPMP), Anugerah Penyair Gapena, Tokoh Pejuang Bahasa, Anugerah Budaya Gapena, Augerah Ijazah Kehormat Doktor Persuratan dari USM, dan Anugerah Tokoh PENA.

Tn. Hj. Mohamad Sabri Hj. Mohd Arsad, Presiden KGMMB dijemput sama dalam majlis tersebut. Sebagai tanda sokongan terhadap pemartaban bahasa dan sastera, KGMMB dengan besar hati menyertainya. Sebagai sebuah kesatuan guru Melayu, KGMMB sentiasa prihatin dan tidak ketinggalan menyertai program yang berkaitan bahasa dan kesusasteraan. KGMMB juga akan menganjurkan seminar bahasa peringkat antarabangsa pada tahun 2014. 

MESYUARAT PEGAWAI KANAN KALI KE-4 SESI 2012-14


Mesyuarat berlangsung di Bilik Mesyuarat KGMMB, Jalan Sentul, Kuala Lumpur pada 5 Jun 2013 bermula jam 9.30 pagi. Mesyuarat melibatkan Pegawai Kanan KGMMB, staf sokongan dan wakil dari Pahang Barat dan Perlis. Bebarapa perkara dibincangkan dalam mesyuarat ini antaranya Pertemuan Guru Nusantara yang akan dijalankan di Malaysia, Pertemuan KGMMB-KSN, Majlis Pelancaran  Kad Baru KGMMB dan isu-isu berkaitan perjawatan dan kebajikan ahli. Mesyuarat dipengerusikan oleh Tn. Hj. Mohamad Sabri Mohd Arsad, Presiden KGMMB.