Saturday 22 September 2012

MAJLIS AIDIL FITRI PGMPPS/KGMMB P.PINANG 2012


Majlis Aidil Fitri anjuran PGMPPS/ KGMMB Cawangan Pulau Pinang berlangsung di Dataran PGMPPS, 12A, Jalan Koperasi, Taman Koperasi Guru, Tanah Liat, Bukit Mertajam pada 15 September 2012 bermula jam 8.00 malam. Majlis melibatkan para ahli PGMPPS/KGMMB, guru-guru bersara dan mantan Pengerusi PGMPPS/KGMMB Cawangan Pulau Pinang. Tn. Hj. Mohamed Sabri Hj. Arsad, Presiden KGMMB hadir menyampaikan ucaptama dan merasmikan majlis. Cikgu Saidin Rashid selaku Pengerusi Cawangan dalam ucapannya, mengalu-alukan kehadiran ahli dan menjelaskan aktiviti-aktiviti yang telah dan akan dijalankan. Beliau juga mengharapkan sokongan padu dari semua ahli dalam perjuangan memartabat nasib anak bangsa dan guru-guru Melayu.

Mantan Pengerusi PGMPPS/KGMMB Pulau Pinang Menerima PJB


Tn. Hj. Abdul Waris Darus dilahirkan di Balik Pulau, Pulau Pinang pada 20 September 1945. Kini beliau berusia 66 tahun dan menetap di Bagan Ajam, Butterworth, Pulau Pinang. Beliau berkahwin dengan Asma Binti Omar yang juga merupakan pendidik dan mereka telah dikurniakan tiga orang cahaya mata.
Beliau memulakan zaman persekolahan pada tahun 1952. Sekolah pertama beliau ialah Sek Melayu Titi Teras, Balik Pulau hingga tahun 1954. Kemudian beliau ke Sek. Men. St. George Balik Pulau pada tahun 1955 hingga 1962. Beliau mendapat latihan guru di Maktab Latihan Guru Pulau Pinang pada tahun 1963 hingga 1965. Kemudian melanjutkan pelajaran di USM Pulau Pinang pada 1979 hingga 1983.
Abdul Waris Darus memulakan perkhidmatan sebagai guru pada 1 Januari 1966. Beliau seorang yang banyak memperoleh pengalaman mengajar. Beliau banyak mencurahkan bakti demi membantu mendidik anak bangsa untuk menjadi warga yang berilmu dan beramal. Antara sekolah yang pernah beliau berkhidmat ialah:
v  1966 – 1967:  SK Temoyong, Langkawi (Guru Penolong).
v  1968: SK Bayas, Langkawi.
v  1969 – 1977: SK Pendang, Kedah.
v  1978 – 1979 SK Permatang Janggus, Pulau Pinang.
v  Pada Tahun 1979 – 1983 melanjutkan Pelaran Ke USM.
v  1984 – 1992: SMK Dato’ Onn, Seberang Perai Tengah.
v  1993 – 1994:  SMK Permatang Rawa, S. Perai ( Guru Penolong Kanan).
v  1994 – 2000: SMK Dato’ Onn, S. Perai (Guru Penolong Kanan).

Sepanjang perkhidmatan beliau banyak menganjurkan program, mencurahkan idea dan membuat transformasi. Antara yang dapat disumbangkan oleh beliau ialah :
Bidang Kurikulum
v  1977 – 2000: Program Mentor Mantee
Program ini membolehkan pelajar diberi perhatian yang lebih dengan mengadakan seorang guru diberi lima orang pelajar. Mereka akan dipantau dan diberi perhatian yang lebih.
Bidang Kokurikulum
v  1995 – 2000: beliau memperkenalkan Kadet Bomba, Silat Lincah di sekolahnya.
v  1995 – 2000: membangunkan program sekolah dalam taman di sekolahnya.

Dalam program ini pelbagai usaha telah digembling untuk menjadikan impian satu realiti antaranya menggadakan anjung ilmu, mini muzium sekolah, pondok ilmu, menjadikan kebersihan satu amalan gaya hidup yang sihat. Turut diwujudkan ialah perpustakaan mini. Semua ini dilakukan bagi menarik minat membaca dalam kalangan pelajar.
Profesyen Keguruan 
v  1994 – 2000: menganjurkan majlis perkembangan staf untuk mewujudkan kerjasama di kalangan staf dan percambahan ilmu.
Pentadbiran sekolah (1994 – 2000)
v  Pengurusan kewangan yang baik dan cekap.
v  Pengurusan bilik darjah yang sistematik dan teratur.

Beliau memperoleh kejayaan yang bermakna antaranya ialah program komputer yang dicetuskan beliau menjadi Johan Peringkat Negeri  tahun 1998 yang dikenali program MATA (Rekacipta).  Pada tahun 1999 pula, program tersebut berjaya mendapat tempat ke-3 antara sekolah-sekolah Malaysia.

Beliau juga gigih memulihkan penagihan dadah dalam kalangan pelajar dan masyarakat. Program Pemulihan yang diperkenalkannya pada tahun 1988–1990 berjaya membantu mengenalpasti penagih dan menghantar mereka ke Pusat Serenti untuk dipulihkan.

Antara aktiviti lain yang beliau terlibat adalah :
v  1991  - 1994: Pengerusi JKKK Daerah Seberang Perai.
v  1997 – 2003: Pengerusi Qariyah.
v  1998 – 2000: Timbalan Pengerusi SK Agama Rakyat (KAFA).
v  1998 – 2000:  Penasihat Belia Daerah Seberang Perai.

Beliau juga terlibat dalam urusan masjid Jabatan Agama Islam seperti pengurusan jenazah, mengambil tugasan pegawai masjid, urusan hal ehwal perkahwinan anak qariyah serta terlibat dalam urusan latihan bakal imam. Sekolah agama yang diwujudkan adalah untuk memastikan anak-anak qariyah kampung beliau mendapat pendidikan  agama  dan Kelas Fardu Ain.

Sebagai Pengerusi Sekolah Agama Rakyat (Darul Hikmah) Pulau Pinang yang dilantik pada tahun 2000 hingga kini, beliau terlibat dengan pelbagai aktiviti. Beliau menganjurkan pertandingan hafazan di surau dan masjid. Di samping itu beliau turut mewakili sekolah agama tersebut menandatangani MOU dengan  Sekolah Agama di Pattani, Selatan  Thailand. Di dalam MOU tersebut terdapat program pertukaran guru dan murid serta meluaskan penggunaan Bahasa Melayu dalam kalangan Pelajar Thailand.

Abdul Waris Darus bertanggungjawab menyatukan semua daerah menjadi satu pertubuhan bersifat negeri bagi memudahkan urusan dalam pentadbiran Persatuan Guru-Guru Melayu Pulau Pinang dan Seberang Perai. Ini bukan sahaja memudahkan proses pentadbiran tetapi juga dapat mempermudahkan lagi urusan pembayaran yuran oleh ahli yang bersara. Mewujudkan kerjasama  KGMMB Pusat dan cawangan Negeri untuk urusan yuran dan kebajikan. Mencadangkan satu bangunan baru diwujudkan di Seberang Perai (bangunan sekarang di Taman Koperasi Guru Tanah Liat Bukit Mertajam – 2010). Kegiatan luar yang disertai oleh beliau adalah:

v  1985 – 1988: Pengerusi KGMMB Pulau Pinang
v  1998 – 1995: AJK Persatuan Guru-Guru Melayu Pulau Pinang dan Seberang Perai  (PGMPPS).
v  1998 – 1995: AJK  KGMMB Cawangan Pulau Pinang.
v  1996 – 2000: Pengerusi KGMMB Cawangan Pulau Pinang.
v  2008 – 2012: AJK Persatuan Guru PESARA.

Abdul Waris Darus menamatkan perkhidmatan pada 20 September 2000 sebagai kakitangan kerajaan. Namun, meneruskan  mengajar sebagai tutor di Open University Cawangan Pulau Pinang dari tahun 2000 hingga 2004. Atas usaha gigihkepada negeri dan masyarakat beliau menerima beberapa anugerah iaitu:

v  2001 – Pingat Jasa Masyarakat (PJM)
v  1993 – Pergerakan gaji melintang
2011 – Tokoh Kepimpinan PGMPPS

Friday 21 September 2012

PERSIDANGAN PEWAKILAN DWITAHUNAN KGMMB KE-23


Persidangan berlangsung di Hotel New Pacific, Kota Bharu, Kelantan bermula dari 21 hingga 22 September 2012 melibatkan kira-kira 200 perwakilan dan pemerhati. YB Dato' Sri Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia merasmikan persidangan yang berlangsung pada malam 21 September 2012. Pada malam perasmian, turut diadakan penyampaian anugerah Tokoh Kepimpinan KGMMB dan Pingat Jasa Bakti (PJB) KGMMB yang disempurnakan oleh perasmi. Y.Bhg. Dato' Drs Hj. Mohd Pilus Hj. Yunus (Negeri Sembilan) menerima anugerah Tokoh Kepimpinan KGMMB. Pingat Jasa Bakti pula disampaikan kepada Tn. Hj. Abdul Waris Darus (Pulau Pinang), Cikgu Abdul Salam Zakaria (Johor), Tn. Hj. Mohamad Ismail (Kelantan), Tn. Hj. Hasan Ahmad (Kedah) dan Tn. Hj. Mohd Kahiri Yahya (Perak). Anugerah disampaikan sebagai mengenang jasa yang telah dicurahkan oleh para penerima dalam KGMMB, bidang pendidikan, kegiatan luar dan kegiatan semasa. Tn. Hj. Mohamed Sabri, Presiden KGMMB menyampaikan ucapan alua-aluan dengan mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan kepada semua perwakilan terutama Jawatankuasa Kelantan selaku pengelola persidangan. Beliau menyampaikan pelbagai isu yang telah diperjuangkan dan kejayaan yang telah diperolehi. Laluan kerjaya Time-Base bagi guru merupakan satu kejayaan yang paling besar. PPPS akan menikmati kenaikan pangkat melalui formula 8-8-6-4, manakala PPPLD berdasar formula 8-8-5.