Sunday 13 November 2011

"FORUM SEJARAH KEMERDEKAAN: SIAPA PEJUANG?"


Forum anjuran PERADABAN ini berlangsung pada 12 November 2011, jam 9.00 pagi hingga 1 petang di Dewan Balora Mastika Kongsi, Balik Pulau,Pulau Pinang. Seramai 70 orang hadir sebagai peserta dan forum dipengerusikan oleh Tn. Hj. Juhari Mohamad Nor. Tiga orang ahli panel yang dijemput membicarakan tajuk forum ialah Prof. Madya Hj. Abdul Rahman Ismail, Prof. Madya Dr. Ahmad Jelani Halimi dan Dr. Azmi Arifin dari USM. Dalam ucapan alu-aluan, En. Roslan Saadon selaku Yang Dipertua PERADABAN menggesa orang-orang Melayu menjadikan sejarah sebagai sumber kekuatan dan perpaduan. Sejarah memaparkan jati diri bangsa yang tidak boleh ditidakkan oleh kaum lain. YB. Muhamad Farid selaku Penasihat PERADABAN pula mengungkapkan akan kepentingan sejarah dalam ucapan perasmiannya. Orang-orang Melayu perlu memahami dan menghayati sejarah. Sejarah bangsa Melayu perlu dijaga dan tidak boleh diperkotak-katikkan oleh orang lain. Isu "Mai Balik Pulau" merupakan contoh yang perlu dijadikan iktibar. Isu tersebut memaparkan sejarah yang tidak benar tentang masyarakat Melayu di Balik Pulau. Forum yang diadakan memberikan banyak maklumat kepada hadirin tentang perjuangan kemerdekaan negara. Maklumat yang diterima merupakan fakta tambahan yang tiada dalam buku teks kepada pelajar Sains Sosial IPG Kampus Pulau Pinang dan pelajar Tingkatan Enam Bawah SMK Seri Balik Pulau yang juga merupakan peserta forum.