Friday 27 May 2011

Pengisahan Sejarah PGMPPS


Majlis Pengisahan Sejarah Persatuan guru-guru Melayu Pulau Pinang dan Seberang Perai (PGMPPS) dijalankan di Auditorium P. Ramlee, Jalan P. Ramlee pada 26 Mei 2011. Penal pengisah terdiri daripada bekas pemimpin PGMPPS dan KGMMB. Mereka ialah Cikgu Ibrahim Ahmad, Cikgu Idrus Awang dan Cikgu Nordin Mahmood. Manakala Pengerusi Panelnya ialah Cikgu Roslan Saadon. Majlis dirasmikan oleh Y.Bhg. Dr. Samsiah, Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia. Turut hadir ialah Prof. Muhammad Salleh, Sasterawan Negara. Program bertujuan untuk mengumpul sumber sejarah berkaitan persatuan guru Melayu yang boleh disimpan di arkib sebagai bahan rujukan.

Hari Guru 2011


Pelancaran Hari Guru Peringkat Kebangsaan berlangsung di Kuching, Sarawak dalam suasana yang sangat meriah dengan pelbagai persembahan kebudayaan. Perisytiharan yang dikatakan akan menggembirakan guru tidak seperti yang dijanjikan. Hanya segelintir sahaja yang menerima manfaat daripada pengumuman Perdana Menteri melalui sidang video. Perkara tersebut memang sudah dijangka dan perlu diterima dengan hati yang terbuka. Namun perbincangan masih terbuka seperti yang dimaklumkan Timbalan Perdana Menteri sedikit sebanyak memberikan sedikit peluang baru. Apapun Kuching merupakan tempat yang menarik. Kek lapis dan ikan terubuk masin menjadi barangan yang tidak boleh tidak perlu dibawa pulang.

Saturday 14 May 2011

Persatuan Sejarah & Warisan Melayu Pulau Pinang



Mesyuarat Prapenubuhan Persatuan Sejarah & Warisan Melayu Pulau Pinang (PSWMPP) berlangsung pada 14 Mei 2011, jam 3.00 petang di Hotel Sunway Seberang Perai. Mesyuarat dihadiri 12 orang wakil dari 5 daerah termasuk YB Sr. Hj. Mohd Farid Hj. Saad, ADUN Pulau Betong. Beliau merupakan teraju utama dalam penubuhan persatuan tersebut. Percambahan minda dan beberapa ketetapan dibuat dalam mesyuarat tersebut sebagai panduan untuk dibawa dalam mesyuarat yang kedua pada 12 Jun 2011. Setiap daerah perlu membawa 10 orang wakil dalam mesyuarat kedua nanti. Senarai nama wakil daerah perlu di email kepada roslansaadon@yahoo.com.my sebelum 30 Mei 2011.

Sunday 8 May 2011

Kumpulan Pelajar Pertama MTC




Pelajar kumpulan pertama datang dari Kota Bharu Teachers’ Training College. Mereka seramai 150 orang yang belajar di maktab tersebut bermula September 1955. Mereka mendaftar di MTC bagi meneruskan pengajian di tahun kedua pada 19 Januari 1957. Mereka dipindahkan ke MTC kerana Kota Bharu Teachers’ Training College akan diubah menjadi Primary Teachers’ Training College yang memerlukan pelajar berkelulusan minima LCE. Rancangan ini adalah berdasarkan perancangan yang dibuat oleh Tun Razak.

Pada 20 Januari 1957, pelajar baru (juniors) seramai 150 orang mendaftar pula. Kedua-dua kumpulan pelajar ini mendaftar di kolej sementara di Jalan Northam. Kuliah dijalankan di bangunan bekas sekolah Cina di kawasan berhampiran. Pada 21 Januari 1957, satu keramaian dan majlis tari-menari diadakan oleh pelajar seniors menyambut kedatangan pelajar juniors. Bilangan pelajar di MTC bermula dengan jumlah 300 orang pada tahun 1957 dan meningkat kepada 1629 pada tahun 1993.

Saturday 7 May 2011

Pengetua Pertama MTC




J.W. Dunnill, Pengetua MTC Pertama
(4 Julai 1955 – Oktober 1959)

Pada 5 Disember 1952, Mr. J.W. Dunnill, DSO ditemuduga oleh pihak Kolonial British untuk jawatan pengetua MTTC. Beliau berjaya dan dihantar sebagai Timbalan Pengetua di Kota Bharu Teachers’ Training College pada bulan Julai 1954 sebelum dilantik sebagai Pengetua MTTC pada 4 Julai 1955. Di Kota Bharu, beliau memperolehi banyak pengalaman berkaitan pelajar Malaya dan keadaan di negara orang. Semasa MTTC berada dalam proses pembinaan, Mr. Dunnill ditempatkan di Kementerian Pelajaran, Kuala Lumpur. Di situ beliau bertanggungjawab dalam perancangan dan pengurusan penubuhan MTTC. Beliau juga bertanggungjawab dalam pengambilan tenaga pengajar untuk MTTC. Pada Mac 1956. Mr Dunnill berangkat ke England untuk menguruskan pengambilan pensyarah. Mr. G.F Jackson selaku Timbalan Pengetua, memangku jawatan Dunnill sehingga kepulangannya.

Selepas selesai menguruskan pengambilan tenaga pengajar, Mr. Dunnill kembali semula ke Pulau Pinang pada 26 September 1956. Beliau seterusnya membuka MTTC pada 27 September 1956 bukan di bangunan yang dibina tetapi di bilik pengawas Sekolah Perempuan St George. Bagi tujuan penyusunan tugas dan melancarkan pentadbiran, Dunnill menjalankan mesyuarat pertama pada keesokan harinya. Mesyuarat dihadiri oleh JW Dunnill, DSO (Pengetua), GF Jackson (Timbalan Pengetua), MDL Moore (Pensyarah Kanan dalam bidang seni dan kraft), DF Cooke (Pensyarah Kanan dalam Ilmu Pendidikan) dan Lim Cheam Teong (Kerani Besar).

Semasa perasmian MTC pada 14 Mei 1959, beliau merupakan pengetua yang bertanggungjawab menguruskan majlis bersejarah itu. Pada bulan Oktober 1959 beliau meninggalkan MTC untuk bertugas sebagai Penasihat Pelajaran untuk badan UNESCO. Beliau dikatakan terkena ‘stroke’ dan meninggal dunia di tanah airnya England pada tahun 1978

"Perjuangan KGMMB"


"Perjuangan KGMMB" memapararkan perjuangan guru-guru Melayu dalam persatuan guru sejak dari tahun 1920. Persatuan awal yang wujud di Pulau Pinang dikenali sebagai Persatuan Guru-guru Melayu Pulau Pinang dan Jajahan (PGMPPJ). Negeri-negeri lain seperti Kedah, Selangor, Perak dan lain-lain turut mengikut jejak langkah Pulau Pinang menubuhkan Persatuan Guru Melayu (PGM) kemudiannya. Pada tahun 1946, PGM negeri-negeri di Semenanjung bersatu membentuk Kesatuan Persekutuan Guru Melayu Semenanjung (KPGMS). Pada tahun 1968 pula bertukar nama kepada KGMMB bagi tujuan mengukuhkan lagi perjuangan guru-guru Melayu terhadap bahasa Melayu, dasar pendidikan, gaji guru, perjawatan dan sebagainya.

Friday 6 May 2011

Buku Sejarah MTC


Buku ini diterbitkan khusus untuk warga IPG Kampus Pulau Pinang, teristimewa buat para pelajar tahun 1950-an, 60-an, 70-an dan 80-an. Buku ini cuba memaparkan sejarah institut sejak dari mula ditubuhkan pada tahun 1950-an. Paparan yang dipenuhi gambar disertai dengan catatan sejarah yang bersifat santai, amat menarik untuk dibaca. Bekas pelajar pasti teruja dengan paparan sejarah silam yang mampu membangkitkan nostalgia.

Latihan Pengenalan Pengajian Sosial

Para pelajar T1PS yang dikasihi,
Berikut disenaraikan soalan yang perlu dijawab sebagai latihan sebelum menghadapi peperiksaan semester.

1. Senaraikan bidang-bidang yang termasuk dalam sains sosial.
2. Berikan maksud bagi bidang berikut:
- sosiologi
- psikolog
- sains politik
3. Berikan maksud kuasa dan nyatakan kepentingan kuasa.
4. Nyatakan tiga sumber kuasa.